Sunday 27 February 2011

TEMURAMAH BERSAMA TOK SIAK MASJID SULTANAH BAHIYAH

TAJUK:
TEMUBUAL BERSAMA TOK SIAK MASJID SULTANAH BAHIYAH

DISEDIAKAN UNTUK:
USTAZ ABD AZIZ BIN HARJIN


DISEDIAKAN OLEH:
IZZHARUDDIN BIN AMINUDIN
No Matrik :2010219776
Kumpulan: BMB2AC


PROGRAM:
Sarjana Muda Sains (Kepujian)
PENGURUSAN SUMBER MANUSIA

(BM223)

TARIKH HANTAR:
28 FEBRUARI 2010



Bismillahirrahmanirrahim. Syukur ke hadirat Ilahi kerana dengan limpah kurnianya saya berpeluang menemuramah seorang Tok Siak di sebuah masjid yang terletak di Kedah dalam usaha menyiapkan tugasan bagi subjek CTU 551 iaitu Tamadun Islam. Berikut adalah hasil temubual saya bersama beliau.

Masjid (مسجد) ialah tempat beribadat yang khusus, seperti solat dan iktikaf, bagi orang Islam. Bangunan ini juga merupakan pusat kebudayaan, muamalat, dan perkembangan dakwah Islamiah, serta pusat aktiviti umat Islam. Masjid tidak mempunyai rupa bentuk yang tetap, tetapi bergantung kepada budaya masyarakat Islam setempat. Dari sudut bahasa,"masjid" bermaksud tempat bersujud. Sejak zaman permulaan Islam lagi (Rasulullah s.a.w.), kemajuan umat dan gerakan Islam semuanya bermula dari masjid. Masjid telah dijadikan sebagai tempat untuk berkumpul, berbincang dan merancang strategi yang tidak terhad kepada bidang dakwah malah perdagangan, perundangan, dan penyebaran ilmu, serta pelbagai lagi. Terdapat beberapa pertikaian mengenai takrif masjid. Ada mereka yang mengistilahkan semua tempat bersolat sebagai masjid. Bagaimanapun, takrif yang biasanya diterima guna adalah bahawa masjid merupakan tempat khas untuk bersolat dan telah digunakan untuk solat Jumaat melebihi tiga kali. Ketika Nabi Muhammad saw tiba di Madinah, beliau memutuskan untuk membangun sebuah masjid, yang sekarang dikenal dengan nama Masjid Nabawi, yang bererti Masjid Nabi. Masjid Nabawi terletak di pusat Madinah. Masjid Nabawi dibangun di sebuah lapangan yang luas. Di Masjid Nabawi, juga terdapat mimbar yang sering dipakai oleh Nabi Muhammad saw. Masjid Nabawi menjadi jantung kota Madinah saat itu. Masjid ini digunakan untuk kegiatan politik, perancangan kota, menentukan strategi askar, dan untuk mengadakan perjanjian. Bahkan, di kawasan sekitar masjid digunakan sebagai tempat tinggal sementara oleh orang-orang fakir miskin. Saat ini, Masjidil Haram, Masjid an-Nabawi dan Masjid al-Aqsa adalah tiga masjid tersuci di dunia. Pada hari ini,seperti yang kita semua ketahui, setiap masjid mempunyai organisasinya yang tersendiri atau ahli jawatankuasanya bagi memudahkan segala kerja-kerja pengurusan sesebuah masjid. Organisasi sesebuah masjid biasanya terdiri daripada imam, bilal, khatib, tok siak dan ahli jawatankuasa yang lain.

Di sini, saya telah menemuramah seorang tok siak yang sudah lama menceburkan diri dalam bidang ini. Nama beliau ialah Haji Hashim bin Kasa yang sekarang ini berumur 63 tahun. Beliau telah dilahirkan sekitar tahun 1948 di Butterworth, Pulau Pinang. Adik- beradik beliau yang masih tinggal adalah seramai 3 orang sahaja pada ketika ini iaitu beliau serta 2 orang lagi kakak beliau.  Kakak beliau masing-masing menetap ni Kepala Batas yang terletak ni negeri Kedah dan juga di Nilai, Negeri Sembilan. Beliau pula pada ketika ini beralamat tetap di 372, Kampung Alor Semadom, Jalan Tun Abdul Razak, Alor Star, Kedah Darul Aman. Berkulit hitam manis dan tinggi lampai, beliau lebih dikenali sebagai Pak Tam atau Pak Hashim di kalangan jemaah masjid. Selain berjawatan Tok Siak, beliau juga telah dilantik sebagai Penghulu di Masjid Sultanah Bahiyah. Beliau telah dilantik sebagai Penghulu oleh sebulat suara Ahli Jawatankuasa masjid tersebut atas kredibiliti dan kesungguhan beliau dalam melaksanakan tugas-tugas yang diberi tanpa sebarang rungutan. Beliau merupakan seorang yang berpegang kepada tanggungjawab yang diamanahkan. Antara tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada beliau adalah memantau perkarangan masjid. Beliau lebih banyak menghabiskan masa di masjid berbanding di rumah. Malah beliau juga ada menyatakan bahawa beliau pulang ke rumah hanya sekadar untuk menyalin pakaian dan membersihkan diri dan kebanyakan masanya dihabiskan di masjid. Namun begitu beliau tidak pernah tertekan dengan keadaan tersebut sebaliknya jiwanya terasa lebih tenang kerana dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT. Beliau telah memegang jawatan Tok Siak ini untuk satu tempoh jangka masa yang sangat panjang iaitu selama 15 tahun. Setelah 15 tahun bergelar Tok Siak akhirnya beliau dikurniakan jawatan Penghulu masjid tersebut dan telah 3 tahun menjadi Penghulu di Masjid Sultanah Bahiyah ini.

Haji Hashim bin Kasa mula mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Tikam Batu yang terletak di Sungai Petani negeri Kedah Darul Aman. Selepas menjangkau umur 13, beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran di sebuah sekolah yang juga terletak di Sungai Petani. Di sinilah minat beliau terhadap agama Islam ini mula berputik setelah mendapat dorongan yang kuat dari ibu bapa beliau pada ketika itu dan juga guru-guru. Jadi, bolehlah ditafsirkan di sini bahawa beliau telah dilahirkan di Pulau Pinang dan kemudiannya membesar di Sungai Petani,Kedah. Selepas tamat persekolahan di peringkat menengah, beliau mula berpindah ke Alor Star untuk mencari pengalaman hidup dan pekerjaan sebagai titik tolak kepada permulaan hidupnya untuk berdikari. Di sini beliau telah berpeluang bekerja sambil melanjutkan pelajaran. Kemudahan bekerja sambil belajar itu disediakan oleh majikannya sendiri. Di sini beliau telah melanjutkan pelajaran dalam bidang kemahiran. Walaubagaimanapun, atas faktor tertentu beliau telah mengambil keputusan untuk berhenti belajar dan terus bekerja untuk majikannya. Salah satu dari faktornya adalah kerana beliau sukar membahagikan masa antara kerja dan belajar. Ini kerana kelas pengajian tersebut diadakan pada waktu malam. Jadi sukar baginya untuk menumpukan perhatian kepada pelajaran akibat keletihan setelah penat bekerja di sebelah siang. Setelah berhenti daripada meneruskan kelas pengajian yang diduduki, beliau berpeluang untuk lebih menumpukan perhatian kepada kerja beliau.

Seperti yang telah dinyatakan di atas, sebelum beliau melibatkan diri dengan organisasi masjid, beliau telah bekerja dalam bidang lain. Beliau penah bekerja sebagai salah seorang kakitangan di Syarikat Automotif Lee Motors di cawangan Alor Star. Seperti yang diketahui beliau bekerja di situ selepas selesai bersekolah di peringkat menengah,dan beliau telah bekerja di situ untuk satu tempoh jangka masa yang lama iaitu sehingga umur beliau mencecah sekitar 30 tahun. Ternyata beliau telah mendapat kepercayaan yang tidak berbelah bahagi dari majikannya kerana atas usaha dan ketekunan beliau dapat terus kekal bekerja di syarikat tersebut. Setelah lama menimba pengalaman sebagai pekerja di syarikat automotif, beliau akhirnya membuat keputusan untuk beralih angin dan mendekatkan diri dengan masjid. Jadi beliau telah mengambil keputusan untuk berhenti bekerja di syarikat tersebut. Walaupun berat untuk melepaskan pekerj yang gigih seperti Haji Hashim bin Kasa,namun majikannya terpaksa melepaskan beliau pergi atas persetujuan bersama. Semenjak dari itulah, beliau mula menjinakkan diri dengan oraganisasi masjid. Alasan beliau untuk berhenti bekerja dan mula mendekatkan diri dengan masjid adalah untuk menumpukan sisa-sisa hidupnya dalam bidang agama Islam. Beliau ingin mendalami ilmu agama dengan lebih meluas lagi dan melakukan amal ibadat dengan masa yang terluang selain mendapat keberkatan hidup di dunia dan akhirat daripada Allah SWT.

Setiap perkara yang dilakukan oleh manusia di atas muka bumi ini kebiasaannya didorong oleh pengaruh tertentu dan mempunyai niat tertentu. Bagi Haji Hashim bin Kasa, penglibatan beliau dalam organisasi masjid ini adalah atas keinginan dirinya sendiri. Dalam usaha awal beliau untuk mendekatkan diri dengan masjid, beliau mula melakukan kerja-kerja sukarela seperti membersihkan kawasan persekitaran masjid termasuklah di bahagian perkarangan masjid dan bahagian dalam masjid. Tanpa beliau sedari, tindak-tanduk beliau telah lama diperhatikan oleh jemaah-jemaah masjid yang lain termasuklah organisasi masjid itu sendiri. Akhirnya keikhlasan hati beliau dalam melakukan kerja-kerja tersebut telah berbalas apabila beliau telah dilantik sebagai Tok Siak di masjid berkenaan  secara sebulat suara oleh keseluruhan Ahli Jawatankuasa Masjid Sultanah Bahiyah setelah mereka mengadakan mesyuarat dan rundingan dengan beliau. Ternyata pihak Ahli Jawatankuasa masjid tersebut boleh menarik nafas lega dan membuat keputusan yang tepat dengan melantik beliau sebagai Tok Siak di masjid berkenaan kerana beliau seorang yang sangat rajin dan bertanggungjawab dalam melakukan kerja-kerja yang telah diamanahkan. Semenjak penglibatan beliau dengan masjid berkenaan, persekitaran masjid sentiasa berada dalam keadaan memuaskan. Selain itu aspek pengurusan dan kekemasan masjid juga semakin memberansangkan.

Setiap organisasi di masjid mempunyai peranan dan tugasnya yang tersendiri. Merujuk kepada En Hashim bin Kasa, beliau sendiri turut memainkan banyak peranan di masjid berkenaan. Walaupun begitu, beliau tidak pernah merungut menjalankan setiap tugas dan pekerjaan yang dipertanggungjawabkan kepada beliau. Selain itu beliau juga tidak pernah mengharapkan apa-apa balasan selain ganjaran pahala daripada Allah SWT. Salah satu dari peranan utama beliau adalah menjaga kebersihan kawasan sekitar masjid merangkumi kawasan perkarangan masjid dan kawasan dalaman masjid termasuklah tempat mengambil wuduk. Kolah wuduk di masjid berkenaan juga akan dibersihkan dari masa ke semasa. Menurut beliau, aspek kebersihan sesebuah masjid haruslah dipantau dari masa ke semasa bagi memastikan kualiti sesebuah masjid berada pada tahap yang baik dan terjamin. Pada waktu lapang beliau akan membersihkan sawang-sawang dan menyapu sampah tidak kurang juga mencuci lantai. Di kawasan persekitaran masjid pula, di sebelah pagi dan petang, beliau akan menyiram pokok-pokok bunga di sekeliling kawasan masjid, selain turut menyapu daun-daun kering dan sentiasa memastikan masjid tersebut sebagai tempat yang sedap mata memandang. Hasilnya, boleh dikatakan keseluruhan kawasan masjid berada dalam keadaan yang bersih dan kemas. Selain itu, beliau juga bertanggungjawab untuk menetapkan tahap kelantangan bunyi pembesar suara di masjid setiap kali sebelum azan dilaungkan oleh bilal. Selain sebelum azan dilaungkan, pembesar suara juga akan ditetapkan tahap kelantangannya oleh beliau pada hari Jumaat di mana Khatib akan membaca Khutbah dan azan akan dilaungkan. Penetapan tahap bunyi pembesar suara ini bertujuan untuk mengelakkan daripada bunyi yang dihasilkan terlalu bergema, atau terlalu perlahan dan sebagainya. Dalam erti kata lain ianya bertujuan untuk menghasilkan bunyi yang berkualiti dan jelas. Selain itu, menurut beliau lagi, senarai nama Imam, Bilal dan Khatib yang bertugas akan dirujuk terlebih dahulu sebelum menetapkan tahap pembesar suara yang sesuai.

Selain bergelar Tok Siak atau Penghulu di masjid berkenaan, beliau juga turut mempunyai tanggungjawab yang lain. Beliau turut mempunyai pekerjaan sampingan iaitu sebagai agen di sebuah agensi perkhidmatan pakej perjalanan bagi jemaah yang ingin mengerjakan Haji dan Umrah. Agensi yang telah beroperasi selama 4 tahun ini dinamakan Gemilang Travel and Tours SDN BHD dan turut bernaung di bawah Masjid Sultanah Bahiyah dan pejabatnya terletak di kawasan perkarangan Masjid Sultanah Bahiyah dan beralamat No.3, Kompleks Perniagaan Masjid Sultanah Bahiyah, Jalan Sultanah 05350, Alor Star, Kedah. Bagi mendapatkan perkhidmatan agensi ini, boleh menghubungi nombor telefon pejabatnya, 04-7300255 atau emailkan kepada gemilangkedah@gmail.com. Antara perkhidmatan dan servis yang disediakan oleh agensi ini ialah pendaftaran dan tempahan untuk menunaikan haji atau umrah, perkhidmatan pengangkutan seperti bas, tempahan hotel, perkhidmatan perjalanan bagi melawat sekitar tanah suci Mekah, Insuran perjalanan, pakej umrah, pakej haji swasta, Badal haji dan visa umrah. Haji Hashim bin Kasa turut terlibat dalam kerja-kerja pengurusan perkhidmatan ini atas dorongan dan sokongan rakan-rakannya dan beliau bersama rakannya telah mengusahakannya secara bersama.

Selama memegang jawatan sebagai Penghulu masjid dan Tok siak, segala tindakan aktiviti yang beliau jalankan tidak mendapat dari mana-mana pihak. Malah jemaah-jemaah lain berasa segan dan terharu dengan usaha-usaha beliau. Ini terbukti apabila beliau terpaksa meninggalkan masjid tersebut untuk suatu tempoh masa kerana menjalankan kewajipan menunaikan ibadah haji di Tanah Suci Mekah, pihak masjid mula terasa kekosongan semenjak ketiadaan beliau di masjid berkenaan. Malah ada segelintir pihak masjid sanggup menelefon beliau yang pada ketika itu sudah selesai menunaikan menjalankan ibadah haji agar segera pulang ke tanah air. Jadi ternyatalah beliau memainkan peranan yang sangat penting di masjid berkenaan. Selain itu, beliau juga tidak pernah merasakan sebarang tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan kepadanya adalah sesuatu yang mencabar. Segala tugas yang dilaksanakan biasanya dapat diselesaikan dan mendapat kerjasama dan sokongan dari jemaah-jemaah yang lain. Haji Hashim bukan sahaja disegani oleh jemaah Masjid Sultanah Bahiyah, malah turut disegani oleh jemaah dari masjid lain dan dikenali ramai. Ini kerana,sekiranya mempunyai waktu lapang, beliau turut melibatkan diri dengan aktiviti yang dijalankan di masjid-masjid lain dan sering menziarahi masjid-masjid lain di sekitar daerah Kota Setar. Tujuannya hanya satu iaitu ingin mengeratkan hubungan silaturrahim bersama jemaah-jemaah di masjid lain dan beliau juga merupakan seorang yang peramah dan senang bergaul. Antara masjid lain yang dikunjungi beliau pada waktu lapang termasuklah Masjid Zahir, iaitu sebuah masjid yang tidak asing lagi bagi umat Islam yang menetap di daerah Kota Setar,Masjid Pantai Johor dan Masjid Alor Mengkudu. Selain menziarahi masjid-masjid lain, pada waktu lapang, beliau juga akan menghabiskan masa dengan mengaji Kitab Suci Al-Quran bersama tahfiz-tahfiz yang lain. Baginya ketenangan jiwa dapat dirasai ketika membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan terasa dirinya lebih dekat kepada Allah SWT.

Setiap orang pastinya mempunyai kenangan manis dalam hidup mereka. Bagi Haji Hashim bin Kasa, antara kenangan manis beliau sepanjang menjadi Tok siak dan Penghulu masjid ialah beliau pernah ditawarkan untuk berkhidmat sebagai penasihat agama di Istana Negeri Kedah Darul Aman. Setelah ditawarkan beliau berkenaan perasaan terharunya tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Pemilihan beliau ini adalah berdasarkan keputusan mesyuarat secara bersama yang dijalankan oleh pihak masjid. Namun beliau sekarang dalam proses menunggu keputusan pihak istana dan masih berbelah bahagi untuk meninggalkan masjid tempat yang sudah sebati dengan jiwanya. Di sebalik kenangan manis, pastinya ada terselit kenangan pahit dalam hidup setiap insan di atas muka bumi ini. Namun itu adalah sebagai dugaan dan ujian daripada Allah SWT dalam menjalani liku-liku hidup, dan kita haruslah bertaqwa kepadaNya dan redha dengan ketentuanNya kerana seseungguhnya setiap perjalanan hidup ini telah ditetapkan oleh Allah SWT, Tuhan yang Maha Esa,ulas beliau. Salah satu daripada kenangan pahit beliau adalah ketika dilanda masalah kecurian yang merunsingkan jemaah-jemaah di masjid tersebut. Akibat daripada itu, jemaah masjid semakin berkurang buat seketika waktu.

Masjid Sultanah Bahiyah ini telah ditubuhkan pada sekitar tahun 1980-an. Masjid ini telah dinamakan oleh Sultan Kedah itu sendiri bersempena dengan lokasinya yang terletak di Jalan Sultanah Bahiyah. Perlantikan setiap Imam, Bilal dan jawatan-jawatan lain ini dibuat oleh Pejabat Agama Negeri Kedah Darul Aman.Jawatan tertinggi masjid ini dipegang oleh Imam masjid. Mesyuarat yang diadakan di masjid ini biasanya berlangsung pada hujung bulan. Antara yang dibincangkan dalam mesyurat berkenaan adalah jadual bagi Imam dan Bilal, perancangan segala aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan pada bulan akan datang, pembaharuan dan pengubahsuaian masjid dan sebagainya. Seperti yang diketahui umum, setiap masjid pastinya menjalankan aktiviti-aktiviti tertentu di samping berfungsi sebagai pusat ibadat. Menurut Haji Hashim bin Kasa, banyak aktiviti yang dijalankan oleh pihak masjid tersebut pada setiap tahun. Salah satu daripada aktiviti yang dijalankan di masjid berkenaan itu adalah kuliah khususnya kuliah selepas menunaikan Solat Subuh dan Zohor. Kuliah ini biasanya disampaikan oleh Imam yang mengimamkan solat pada waktu itu. Kuliah yang disampaikan biasanya merangkumi pelbagai aspek termasuklah kupasan isu-isu semasa di sekitar, berkaitan dengan ibadah, akhlak dan sebagainya. Selain kuliah, ceramah agama juga diadakan di masjid berkenaan. Penceramah biasanya turut terdiri daripada Imam di masjid berkenaan. Alhamdulillah sehingga hari ini, beliau berpuas hati dengan jemaah yang setia menghadirkan diri mendengar ceramah yang disampaikan. Namun begitu, pada hari-hari tertentu, misalnya Hari Kebesaran seperti Maulidur Rasul, Sambutan ketibaan Bulan Ramadhan, Maa’l Hijrah dan sebagainya, penceramah dari luar akan dijemput dan ternyata sambutannya amat memuaskan.  Bagi memutuskan penceramah yang akan dijemput, biasanya Ahli Jawatankuasa Masjid akan mengadakan mesyuarat dan mesyuarat akan dipengerusikan oleh Imam masjid berkenaan. Pada hari-hari kebesaran ini juga biasanya pihak masjid akan menjemput sekolah-sekolah tertentu untuk mengahdiri ceramah di masjid berkenaan tidak kiralah sama ada sekolah rendah mahupun sekolah menengah dan kebiasaannya kedua-duanya dijemput bagi memeriahkan lagi suasana. Selain ceramah agama, masjid ini juga turut terlibat dengan aktiviti kebajikan masyarakat secara bersama dengan badan-badan tertentu seperti ABIM dan PERKIM. Antara aktiviti yang dijalankan secara bersama termasuklah derma kepada rumah anak-anak yatim, menyampaikan ceramah, mengadakan kursus-kursus tertentu secara terbuka kepada semua pihak dan pelbagai aktiviti lain lagi. Masjid Sultanah Bahiyah ini juga turut mewujudkan petempatan bagi warga emas yang sudah beroperasi selama lebih 10 tahun selain turut mempunyai rumah penempatan bagi golongan musafir. Aktiviti lain yang dijalankan di masjid ini termasuklah aktiviti gotong-royong yang kebiasaannya diadakan beberapa bulan sekali. Pihak yang terlibat dengan aktiviti gotong-royong ini biasanya terdiri daripada jemaah masjid itu sendiri. Dalam kebanyakan aktiviti yang dijalankan, aktiviti yang paling mendapat sambutan ialah aktiviti korban pada Hari Raya A’idiladha atau Hari Raya Korban. Pihak masjid akan mengadakan aktiviti korban dan biasanya jemaah masjid turut terlibat dalam aktiviti berkenaan dan daging korban kemudiannya disedekahkan kepada penduduk sekitar dan jemaah yang terlibat dan kenduri secara besar-besaran turut diadakan. Selain itu, pihak masjid juga terbabit dengan urusan di Istana Negeri Kedah Darul Aman pada hari kebesaran tertentu khususnya Hari Raya Aidilfitri dan turut mengadakan tahlil dari rumah ke rumah pada waktu tertentu. Pihak Masjid Sultanah Bahiyah ini juga terlibat dengan aktiviti sukarela. Misalnya menjadi petugas hasil kerjasama dengan Tabung Haji di lapangan terbang bagi menguruskan penerbangan jemaah yang akan menunaikan Haji. Pihak masjid juga ada mengadakan aktiviti qiamullail pada waktu tertentu. Misalnya aktiviti yang dalam sudah berada dalam perancangan pada ketika ini iaitu aktiviti sambutan MaulidurRasul yang akan bermula pada 15 Februari tahun ini bertempat di masjid berkenaan.

Boleh dikatakan ada sebilangan masjid yang menghadapi masalah-masalah tertentu dan menurut Haji Hashim, boleh dikatakan setiap masjid tidak boleh lari dari sebarang masalah. Masalah yang seringkali melanda Masjid Sultanah Bahiyah ini adalah masalah kecurian yang agak serius. Perbuatan mencuri ini kebiasaannya dilakukan oleh penagih dadah yang bukan sekadar dilakukan oleh masyarakat sekitar, malah ada juga dari satu tempat yang agak jauh. Masalah kecurian ini merupakan satu masalah yang membimbangkan pihak masjid saban hari. Dalam usaha untuk mengatasi masalah ini, Haji Hashim bersama rakan-rakannya akan bermalam di masjid berkenaan pada waktu-waktu tertentu dan sekiranya ternampak kelibat yang mencurigakan beliau akan segera menelefon polis. Hingga sekarang masalah ini masih belum dapat dibendung sepenuhnya.













Di akhir perbualan bersama Haji Hashim bin Kasa,seorang Penghulu Masjid Sultanah Bahiyah beliau ada menyatakan beberapa hasrat dan harapan. Antara harapan beliau kepada generasi muda kini atau golongan belia adalah agar mereka mendapat petunjuk daripada Allah dan sering mengunjungi masjid dan mendekatkan diri dengan Allah SWt agar mendapat keredhaan hidup di dunia dan akhirat. Harapan beliau juga termasuklah mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT dan semoga kehidupannya diberkati Allah SWT.      

Kesimpulannya tugas sebagai seorang tok siak bukanlah satu tugas yang mudah kerana harus berbekalkan kesabaran dan keteguhan iman dalam menjalankan kerja-kerja amal tanpa mengharapkan apa-apa balasan selain dari keredhaan Allah S.W.T.

Rujukan :
Haji Hashim bin Kasa